Entry terbaru

Rakan Blogger

NAJIB beramah mesra dengan penulis blog termasuk Dr Mahathir pada Persidangan Penulis Blog Malaysia-ASEAN yang pertama di Kuala Lumpur, semalam.
NAJIB beramah mesra dengan penulis blog termasuk Dr Mahathir pada Persidangan Penulis Blog Malaysia-ASEAN yang pertama di Kuala Lumpur, semalam.
Kerajaan mahu penulis blog bantu bentuk masa depan negara: Najib 

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan tidak takut dengan pandangan penulis blog, sebaliknya mahu menjadi rakan blogger kerana pandangan mereka diperlukan, termasuk kritikan membina untuk bersama-sama membentuk masa depan lebih baik untuk negara dan rakyat.
Perdana Menteri juga percaya hubungan antara blogger dan kerajaan akan menjadi jalinan penting atas dasar saling menghormati dengan kedua-dua pihak boleh berbeza pendapat, tetapi jangan sehingga langsung tidak boleh menerima pandangan orang lain.
“Era kerajaan mengetahui segala perkara... tahu yang terbaik, sudah berlalu. Marilah berdepan dengan hakikat ini. Kita (kerajaan) tidak boleh tidak mengendahkan dan kita tidak akan tidak mengendahkan... kita mahu tahu pandangan blogger yang mewakili masyarakat Malaysia. Kita memerlukan pandangan anda, malah kritikan membina daripada anda. 

“Bagaimanapun, harus ada batas supaya tidak menggunakan ruang siber untuk menipu atau menyatakan separuh kebenaran. Justeru, mesti ada batasan. 

“Jika anda bekerja dalam lingkungan berkenaan (menulis atau memberitahu perkara yang benar dan betul), saya percaya blogger akan memainkan peranan amat penting dalam membentuk masa depan lebih baik untuk Malaysia dan ASEAN,” katanya ketika ucaptama pada Persidangan Blogger Malaysia-Rantau ASEAN yang pertama di sini, semalam. 

Hadir sama Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Presiden Blog House Malaysia (BHM), Syed Akbar Ali. Pada majlis itu, Dr Mahathir turut diumumkan sebagai Penaung BHM. 
Najib berkata, aktiviti blog di Malaysia ialah antara yang paling rancak serta bebas di dunia dan pentadbiran negara kepemimpinannya memberi sepenuh komitmen untuk meneruskan janji Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri dan membangunkan Koridor Raya Multimedia (MSC) bahawa Malaysia tidak akan menapis Internet. 

“Ada kira-kira 10.1 juta pengguna Facebook di Malaysia ketika ini, malah 500,000 blog sudah wujud sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) pada Mac 2003, iaitu sebelum Tun Dr Mahathir memulakan blog beliau yang kini menarik lebih 30 juta pelawat,” katanya. 

Secara keseluruhan, Najib berkata, kebanyakan kerajaan di dunia kini berdepan dengan cabaran media sosial melalui ruang siber, meliputi Facebook, Twitter dan blog yang mampu mempengaruhi serta membentuk pandangan orang ramai, sehingga dalam kes tertentu membawa kepada kejatuhan rejim dan kerajaan atau sekurang-kurangnya mencetuskan kekecohan serta ketidakstabilan. 

Dalam konteks ini, katanya, ketika ditanya wartawan mengenai kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak lalu, beliau memberikan jawapan bahawa demokrasi terbuka dan media online atau demokrasi digital menjadikan pilihan raya semakin sukar serta mencabar untuk dimenangi, terutama dengan majoriti besar oleh mana-mana parti politik. 

“Sehubungan itu, hakikat bahawa kita (BN) berupaya untuk menang melebihi majoriti dua pertiga (dalam PRN Sarawak) dengan sendirinya adalah satu pencapaian yang besar,” katanya. 

Najib berkata, demokrasi digital adalah suatu yang tidak dapat dielakkan, malah kerajaan percaya Internet adalah enjin untuk pertumbuhan ekonomi, membina masyarakat berilmu dan berupaya merapatkan rakyat melalui penggunaan yang betul. 

Sementara itu dalam sesi soal jawab bersama peserta persidangan, Najib berkata, kerajaan masih terbuka kepada pendapat orang ramai mengenai cadangan pihak tertentu supaya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksanakan semula, manakala antara masalah paling besar dalam pelaksanaan dasar di negara ini ialah penguatkuasaan yang lemah. 


Berita Harian

0 Comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...