Entry terbaru

Adab Manusia Dalam Menjaga Lidah


Allah SWT telah berfirman:

“Tiada satu kata pun yang diucapkan (manusia) melainkan di depannya (dicatat)
oleh Malaikat pengawas yang selalu hadir.” (Surah Qaf: 18)
Hendaklah setiap muslim dapat menjaga lidahnya agar sentiasa terpelihara daripada gangguan syaitan. Barang siapa mudah melepas lidah seenaknya, (sewenang-wenangnya) tanpa dikendali dengan betul, maka lidahnya akan menjadi tempat lalulalang syaitan dalam segala keadaan.

Seringkali manusia menganggap ringan dan tidak menjaga dirinya dengan sebaik-baiknya daripada bahaya cacat kelemahan lidah dan akibat-akibat buruknya, kurang berhati-hati menjaga diri daripada bisikan syaitan. Ketahuilah bahawa lidah itu sesungguhnya adalah alat yang selalu digunakan oleh syaitan untuk merosakkan dan menjerumuskan manusia.

Hadith daripada ‘Uqbah bin ‘Amir RA mengatakan bahawa dirinya pernah
bertanya kepada Rasulullah SAW:
“Ya Rasulullah, bagaimana supaya selamat? (yakni terhindar daripada azab). Baginda menjawab: Engkau harus dapat menahan lidah, melapangkan keluargamu dan menangisi kesalahanmu!”

Hadith daripada Syaqiq mengatakan bahawa;
Abdullah (bin ‘Umar bin Abdullah (bin ‘Umar bin Al-Khattab) RA setelah bertalbiyah di Shafa, ia lalu berucap: “Hai lidah, berbicaralah yang baikbaik, engkau pasti beruntung. Bila diam engkau selamat sebelum menyesal.” 

Sahabat-sahabatnya bertanya: Hai Abdullah, yang engkau ucapkan itu kata-katamu sendiri ataukah engkau orang lain?” 

Abdullah menyahut: Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: Sebahagian besar kesalahan anak Adam terletak pada lidahnya.”

Hadith daripada ‘Abdullah bin Mas’ud mengatakan “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW:
“Ya Rasulullah, amal perbuatan apakah yang paling afdal? Baginda menjawab: Solat pada waktunya. Aku bertanya lagi: Apa lagi ya Rasulullah? Baginda menjawab: Membuat orang lain selamat daripada gangguan lidahmu!”

Menjaga lidah bererti menjaga ucapan yang tidak dibolehkan oleh hukum syarak dan yang tidak perlu. Orang yang tidak menjaga lidahnya dan suka bercakap banyak, tidak mustahil akan terpesong dalam mengumpat, membicarakan kecacatan dan kekurangan orang lain. Orang seperti ini pada hari kiamat walaupun membawa pahala kebajikan sebesar gunung akan dihancurkan oleh lidahnya sendiri.

Ibnul Mubarak bersenandung:-
Bukankah engkau wajib menjaga lidahmu
Kerana lidah dapat segera meragut nyawa
Lidah adalah alamat/tanda isi hati
Menunjukkan apa yang ada di dalam fikiran

Ibnu Muthi dalam syairnya berkata:-
Lidah seseorang adalah singa dalam kandang
Bila dilepas ia pasti menerkam
Kerananya jagalah daripada keburukan dengan berdiam
Ia akan menjadi pelindung bagimu daripada bencana

Ibnu Habban RA berkata:-
Lidah adalah ibarat binatang buas
Bila ditambat pemiliknya selamat
Tetapi bila dilepaskan
Dia menerkamnya.

Berhati-hatilah ketika bercakap jangan sampai boleh mendatangkan fitnah. Ziarah menziarahi adalah satu ibadah tetapi tidak terlalu kerap dan tidak berlebih-lebih dikhuatiri lidah berkata perkara yang tidak baik.
Menjauhkan diri dari riak dan memuji-muji diri.

Menghindari perbicaraan yang tidak berguna, tidak mengumpat dan sebagainya. Jagalah lidah dengan bertakwa kepada Allah, banyak berzikir menyebut Allah. Orang yang lidahnya kering daripada zikir mengingati Allah tentu akan dibasahi oleh hal-hal yang batil.

Renungan bersama:

Jika kasihkan Allah, banyakkan zikirullah
Jika kasihkan nabi, banyakkan selawat
Jika kasihkan diri, banyakkan taubat.

Syeikh Khalid Shoufan

p/s: sama-sama lah kita saling mengingati supaya menghindari perkara yang sia-sia.

4 Comments
Tweets
Comments

4 Comments:

  1. diam lebih baik dari bcakap yg sia2..

    ReplyDelete
  2. Jaga kata-kata.Lidah lagi tajam dari pedang.

    ReplyDelete
  3. Allah SWT telah berfirman:

    “Tiada satu kata pun yang diucapkan (manusia) melainkan di depannya (dicatat)
    oleh Malaikat pengawas yang selalu hadir.” (Surah Qaf: 18)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...